ShahKB ShahKB Author
Title: P. Ramlee
Author: ShahKB
Rating 5 of 5 Des:
Tan Sri Datuk Amar Dr. P. Ramlee (dilahirkan sebagai Teuku Zakaria bin Teuku Nyak Puteh; 22 Mac 1929 - 27 Mei 1973) merupakan seorang penya...

Tan Sri Datuk Amar Dr. P. Ramlee (dilahirkan sebagai Teuku Zakaria bin Teuku Nyak Puteh; 22 Mac 1929 - 27 Mei 1973) merupakan seorang penyanyi, pelakon, pengarah, pemuzik dan penulis lagu yang berasal dari Pulau Pinang, Malaysia. Beliau juga digelar sebagai "Seniman Agung Negara" kerana jasanya yang amat besar dalam industri hiburan terutamanya di rantau Asia Tenggara. Beliau pernah mendapat pengiktirafan yang meluas dari dalam dan luar negara di sepanjang hidupnya hinggalah selepas kematiannya.

Beliau telah dilahirkan di Pulau Pinang pada pagi Hari Raya Aidilfitri, pada tarikh 22 Mac 1929 kepada pasangan Teuku Nyak Puteh Teuku Karim (1902 - 1955) dan Che Mah Hussein (1904 - 1967). Bapanya yang berasal dari Lhokseumawe, Acheh telah mendirikan rumahtangga dengan Che Mah Hussein pada tahun 1925 di Kubang Buaya, Butterworth. P. Ramlee juga mempunyai seorang adik-beradik tiri iaitu Syeikh Ali melalui ibu yang sama.

Beliau menerima pendidikan awal di Sekolah Melayu Kampung Jawa dan Sekolah Kebangsaan Francis Light. Seterusnya, beliau menyambung pelajaran di Penang Free School sehingga meletusnya Perang Dunia Kedua. Ketika pendudukan tentera Jepun di Tanah Melayu, beliau belajar di Sekolah Tentera Laut Jepun sebelum kembali ke Penang Free School apabila perang tamat.

Beliau mula bermain peralatan muzik yang bernama ukulele dan akhirnya beralih kepada gitar dan biola di bawah bimbingan Encik Kamaruddin yang merupakan seorang pemimpin brass band di Penang Free School. Beliau juga pernah menyertai Orkes Teruna Sekampung dan kemudian Sinaran Bintang Sore. Beliau pernah menjadi juara bagi pertandingan nyanyian anjuran Radio Pulau Pinang pada tahun 1947 dan terpilih sebagai Bintang Penyanyi Utama Malaya. Dalam pertandingan itu, beliau menggunakan huruf "P" (bagi Puteh) di awal namanya dan nama "P. Ramlee" itu kekal hingga ke akhir hayatnya.


Filem pertama lakonan P. Ramlee ialah Chinta, sebuah filem yang dikeluarkan pada tahun 1948. Beliau memegang peranan sebagai penjahat dan nyanyian latar. Kejayaannya terus berkembang dan telah berjaya berlakon di dalam 27 buah filem di antara tahun 1948 hingga 1955. Salah seorang pendorong dan guru beliau dalam dunia perfileman Melayu ialah Datuk L. Krishnan yang merupakan pengarah bagi filem Melayu sekitar tahun 1950-an hingga 1960-an. Gaya lakonan beliau yang amat berjaya itu adalah hasil inspirasi daripada dua pelakon yang terkenal dari India Selatan iaitu MGR dan Sivaji Ganesan. Filem terakhir lakonan beliau ialah Laxmana Do Re Mi pada tahun 1972 manakala lagu dan lirik terakhirnya ialah Air Mata di Kuala Lumpur pada tahun 1973 sebelum beliau menghembuskan nafas terakhirnya.


P. Ramlee pernah berkahwin tiga kali. Kali pertama beliau berkahwin dengan Junaidah Daeng Harris pada 1950 tetapi perkahwinan mereka menemui kegagalan pada tahun 1954. Perkahwinan kedua beliau adalah dengan Noorizan Mohd. Noor pada 6 Februari 1955 yang merupakan seorang kerabat diraja bagi negeri Perak yang sanggup meninggalkan kehidupan di istana demi cintanya itu. Walaubagaimanapun, Norizan mengharapkan sesuatu yang lebih dari perkahwinan mereka tetapi beliau lebih menumpukan hidupnya kepada kerjaya seni yang menyebabkan perkahwinan mereka berakhir pada tahun 1961. Kali terakhir adalah dengan Saloma pada 21 November 1961 dalam satu majlis yang sangat sederhana bersama rakan-rakan terdekatnya.

Wanita yang mencintai beliau mempunyai sebab-sebab yang berbeza. Isteri pertama beliau, Junaidah, menyintainya ketika masih belum terkenal. Seterusnya, Norizan pula mencintainya sebagai seorang seniman dan pembikin filem yang terkenal. Walaubagaimanapun, Saloma mencintainya dengan seadanya iaitu sebagai seorang seniman dan sebagai seorang yang biasa. Perkara ini yang menyebabkan Saloma menjadi teman hidup sehati sejiwa beliau sehingga ke akhir hayat.

P. Ramlee mempunyai ramai anak yang dijaga beliau dan tetapi hanya dua orang sahaja yang merupakan anak kandungnya hasil perkahwinan beliau dengan Junaidah. Anak-anak beliau banyak membantu beliau dalam kerja seperti menjadi penyanyi latar kanak-kanak (contohnya lagu Tolong Kami Bantu Kami daripada filem Tiga Abdul) dan pelakon kanak-kanak tambahan (contohnya Sazali yang berlakon sebagai anak pekerja ladang dalam Anak Bapak). Berikut merupakan anak-anak yang pernah dijaga beliau:


Mohd Nasir : Anak kandung bersama Junaidah (1953-2008)

Arfan : Anak kandung bersama Junaidah (1954-1998)
Sazali : Anak angkat (lahir 1958)
Abdul Rahman : Anak tiri (anak Junaidah)
Norma : Anak tiri (anak Noorizan)
Armali : Anak tiri (anak Saloma dan A.R.Tompel)
Betty : Anak angkat
Zakiah @ Zazaloma : Anak angkat (lahir 1963)
Sabaruddin @ Badin : Anak angkat (1966-2007)
Salfarina @ Dian : Anak angkat (keturunan Cina)

sumber: wikipedia

Advertisement

Catat Ulasan Blogger

 
Top