ShahKB ShahKB Author
Title: Hilang minat dunia realiti
Author: ShahKB
Rating 5 of 5 Des:
Selalu kita mendengar rungutan ibu bapa mengenai kanak-kanak kini yang lebih gemar menghabiskan masa menonton televisyen atau leka mengadap...
Selalu kita mendengar rungutan ibu bapa mengenai kanak-kanak kini yang lebih gemar menghabiskan masa menonton televisyen atau leka mengadap permainan komputer. Namun tahukah anda, bahawa kita sebagai ibu bapa dan individu lebih dewasa yang berada sekeliling mereka sedikit sebanyak turut menyumbang kepada kecenderungan tidak sihat itu.
Berapa ramai ibu bapa bermurah hati menghadiahkan anak dengan pelbagai jenis permainan komputer atau memberi pinjam telefon pintar mereka? Benar, dari sudut positif ia dapat merangsang daya fikir kanak-kanak, tetapi ia juga membuatkan mereka tenggelam dalam dunia maya sehingga hilang minat terhadap dunia realiti. 

Keadaan persekitaran juga memberi pengaruh kepada tingkah laku dan jiwa anak. Dalam satu kajian baru yang diketuai Dr Mary Jo Messito, pensyarah klinikal paediatrik di Pusat Pengajian Perubatan New York mendapati terlalu banyak menonton televisyen ketika hamil boleh ‘mewariskan’ tabiat kurang sihat itu kepada bayi yang bakal dilahirkan. 

Ini kerana dalam kajian itu mendapati wanita yang banyak menonton televisyen ketika hamil khususnya pada waktu makan akan ada kecenderungan yang sama apabila menyusukan bayinya kelak.

Foto
ANAK mewarisi tabiat ibu ketika dalam kandungan.

Keadaan ini menimbulkan kebimbangan pakar perubatan kerana bayi yang ‘membesar’ di depan televisyen termasuklah ketika disusukan menjadi kanak-kanak yang makan sambil menonton rancangan kegemaran mereka.

Berdasarkan penemuan banyak kajian terdahulu, kanak-kanak yang banyak menghabiskan masa di depan televisyen terutama pada waktu makan mempunyai peluang tinggi mengalami masalah gemuk atau obes. Biasanya kanak-kanak ini meragam jika tidak dibenarkan menonton rancangan kegemaran mereka. 

Kata Dr Messito, menonton televisyen memang boleh melekakan kita. Dan tidak mustahil jika ibu yang memberikan anak makan sambil menonton televisyen tidak sedar atau terlepas pandang isyarat yang diberikan si anak apabila mereka sudah kenyang dan akhirnya membuatkan si kecil terlebih makan. 

Kajian itu dijalankan ke atas 189 wanita dengan bertanyakan berapa kerap mereka menonton televisyen ketika waktu makan pada trimester ketiga dan tiga bulan pertama selepas bersalin. Bagaimanapun, penyelidik hanya bertanyakan mengenai kekerapan menonton televisyen dan tidak memasukkan kekerapan menggunakan komputer, tablet atau telefon pintar. 

Penyelidik mendapati 71 peratus wanita melaporkan makan depan televisyen ketika hamil dan 33 peratus mengakui membiarkan televisyen terpasang ketika memberikan bayi mereka makan. Ibu muda di bawah 25 tahun dilaporkan lebih gemar memberikan anak makan sambil menonton televisyen. Malah, ibu yang tidak memberikan susu badan juga lebih ramai yang ada kecenderungan ini. 

Kenapa ia menjadi kebimbangan? Menurut Dr Messito, wanita hamil yang menonton televisyen sambil makan ketika hamil mempunyai kebarangkalian lima kali lebih tinggi melakukan perkara sama ketika menjaga anaknya kelak. 

Perkara ini lama-kelamaan menjadi satu tabiat yang secara tidak sedar diwarisi oleh si anak dan berterusan sehinggalah dia dewasa. Walaupun dia tidak dapat mengesahkan apakah menonton televisyen pada waktu makan itu akan disusuli tabiat kurang sihat yang lain, tetapi berdasarkan kajian sebelum ini menunjukkan orang yang banyak menghabiskan masa di depan televisyen kurang melakukan aktiviti cergas atau bersenam. 

Banyak kajian membabitkan kanak-kanak prasekolah dan sekolah mendapati makan sambil menonton televisyen ada kaitan dengan tabiat pemakanan kurang sihat dan sensitiviti terhadap rasa kenyang juga berkurang yang menyebabkan ramai orang terlebih makan. 

Pun begitu, Dr Messito tidaklah menghalang wanita hamil menonton televisyen, tetapi hendaklah dihadkan kepada dua jam sehari saja. Pada masa sama, Akademi Paediatrik Amerika menyarankan supaya kanak-kanak kecil di bawah usia dua tahun tidak didedahkan kepada televisyen atau media elektronik lain. Manakala untuk kanak-kanak berusia dua tahun ke atas bolehlah didedahkan kepada media hiburan (televisyen, permainan komputer dan sebagainya), tetapi hadnya hanyalah satu atau dua jam sehari. 

Umat Islam sebenarnya amat beruntung kerana sejak dulu lagi kita sudah ada panduan untuk diamalkan ketika hamil dalam usaha memberikan ‘pengaruh’ baik kepada anak yang bakal dilahirkan contohnya memperbanyakkan membaca al-Quran, berzikir dan berdoa. 

Jika terlalu sibuk pun, kita boleh memasangkan bacaan al-Quran di rumah pada bila-bila masa. Ramai ibu bapa mengakui anak yang diperdengarkan bacaan al-Quran atau alunan zikir lebih tenang dan tidak banyak meragam. 

Carilah jalan terbaik untuk mengekang kecenderungan anak terhadap televisyen kerana tarikan media hiburan amat kuat. Paling penting, anda sendiri perlulah menjadi teladan yang baik kepada anak. Jangan pula anda menjadi seperti ketam yang cuba mengajar anak berjalan lurus sedangkan anda sendiri jalan mengiring!

Advertisement

Catat Ulasan Blogger

 
Top