ShahKB ShahKB Author
Title: Pahang benam Kedah 5-0 tempah tiket final Piala Malaysia
Author: ShahKB
Rating 5 of 5 Des:
PEMAIN Kedah, Billy Osman Mehmet kecewa selepas pasukannya tewas kepada pasukan Pahang, manakala pemain pasukan Pahang meraikan kemenanga...

PEMAIN Kedah, Billy Osman Mehmet kecewa selepas pasukannya tewas kepada pasukan Pahang, manakala pemain pasukan Pahang meraikan kemenangan pada perlawanan separuh akhir kedua Piala Malaysia antara Pahang bertemu Kedah di Stadium Darul Makmur.- Foto Mustaffa Kamal
KUALA LUMPUR: Pahang membuktikan tiada yang mustahil dalam bola sepak selepas gah membenam Kedah 5-0 dalam perlawanan separuh akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Darul Makmur, Kuantan sekali gus menempah tiket ke final buat tahun kedua berturut turut, malam tadi.
Menanti kunjungan Kedah yang memiliki kelebihan hasil kemenangan 3-1 di Alor Setar, Pahang begitupun kekal fokus dengan misi memburu gol dan membuka tirai jaringan seawal minit keempat menerusi Matias Conti.
Ketika Kedah mahu kembali menyusun permainan, Pahang terlebih dulu menambah gol kedua menerusi pemain sayap, R Gopinathan yang beraksi cukup lincah untuk menewaskan penjaga gol Kedah, Saiful Amar Sudar. 
Gol kedua Pahang itu seakan merobek emosi pemain Kedah yang terus bocor enam minit kemudian menerusi jaringan kedua Conti hasil gandingan menariknya bersama rakan penyerang, Dickson Nwaekeme.
Dan kegoyahan jentera pertahanan Kedah yang turut kehilangan pemain import, Namkung Woong akibat kecederaan terus dimanfaatkan Pahang yang meledak gol keempat juga menerusi Conti yang melengkapkan hatriknya pada minit ke-37.
Memasuki babak kedua, Kedah yang dibimbing jurulatih Tan Cheng Hoe cuba merubah corak permainan dan berjaya mendapat beberapa peluang terbaik menjaringkan gol namun digagalkan dengan ketumpulan jentera serangan.
Malah kerancakan Kedah melancarkan serangan kemudian memakan diri apabila Gopinathan meledak gol kedua peribadinya pada minit ke-74 menerusi larian menarik dari kiri padang yang disudahkan dengan rembatan kencang menewaskan Saiful Amar.
Kemenangan besar menyaksikan Pahang mara ke final dengan keputusan agregat 6-3.
Ia turut menjadi hadiah paling bermakna buat Sultan Pahang yang menyambut Ulang Tahun Keputeraan Ke-84, Sultan Ahmad Shah, hari ini.
Satu lagi slot ke final akan ditentukan pada perlawanan separuh akhir kedua membabitkan Johor Darul Ta'zim dan FELDA United, esok.
Keputusan
- Pahang 5 Kedah 0
Gol: Matias Conti (m4, 30, 37) R Gopinathan (m26,74)
(Pahang mara ke final buat tahun kedua berturut-turut dengan agregat 6-3)

Advertisement

Catat Ulasan Blogger

 
Top