ShahKB ShahKB Author
Title: Al-Quran warkah daripada Allah
Author: ShahKB
Rating 5 of 5 Des:
MENJADI tanggungjawab ibu bapa untuk mendidik anak-anak dengan kalimah al-Quran agar menjadi pedoman hidup. SALAM dari...







MENJADI tanggungjawab ibu bapa untuk mendidik anak-anak dengan kalimah al-Quran agar menjadi pedoman hidup.



SALAM dari Madinah Al-Munawarrah. Di Masjid Nabawi, melihat jemaah khusyuk membaca al-Quran merupakan rutin pemandangan yang mengasyikkan.
Mata dapat menyaksikan ibu tua membaca kitab suci di atas kerusi, nenek sakit lutut membaca di atas kerusi roda dan wanita separuh umur memegang al-Quran sambil menyandar di belakang tiang. Malah, ada gadis remaja memegang al-Quran kecil sambil membaca secara berkumpulan atau bersendirian.
Hari itu, saya memerhatikan anak perempuan berusia sekitar tujuh tahun tekun menghafal surah Luqman sambil disemak oleh ibunya. Sesekali si ibu membetulkan atau memulakan ayat baharu. Si anak menyambung ayat itu lalu membaca dengan tartil dan lancar. Saya asyik dan pada masa sama mengaguminya.

Duhai wanita yang seusia dengan diriku. Apakah rahsiamu?

Usai membaca, anak perempuan itu bangkit lalu bermain kejar-mengejar bersama rakan sebaya. Giliran adik perempuannya pula sekitar usia lima tahun mengambil tempat. Sebelum itu, saya lihat kanak-kanak itu bergolek-golek di atas permaidani Masjid Nabawi, namun bibirnya menghafal surah.
Subhanallah! Ia surah ar-Rahman.
Saya menghampiri si ibu lalu bertanya, bagaimana beliau mengajar mereka al-Quran sehingga ke tahap itu. Si ibu tersenyum malu.
Separuh berbisik, lembut sekali beliau berkata: “Perkenalkan kalimah Allah ketika anak mula pandai bercakap. Ajarlah membaca dengan nama Allah. Saya memperkenalkan al-Quran sebagai bahan bacaannya yang pertama ketika berusia tiga tahun.”


Merenung
Subhanallah! Diam-diam saya merenung diri sendiri. Kenapa saya tidak terfikir melakukannya ketika anak sendiri pada usia begitu? Diam-diam saya mengakui bagaimana mungkin mahu begitu sedangkan saya sebagai ibu tidak sebegitu. Zaman silam kami, kitab suci Allah sering dipinggirkan. Allahu- akbar!
Dahulu, saya memperkenalkan huruf ABC bukannya huruf daripada al-Quran kepada anak-anak. Dahulu saya membacakan kisah Snow White bukannya kisah Nabi Nuh yang menangisi kekufuran isteri dan anak-anak.
Dahulu saya membacakan kisah Superman, Power Rangers, Spiderman sebagai penyelamat manusia sejagat, bukannya kisah Nabi Muhammad SAW yang memberikan cahaya keimanan kepada manusia. Allahuakbar!
Namun, di dalam doa yang dipanjatkan kepada Allah SWT, tidak putus saya mengharapkan agar zuriat menjadi anak-anak soleh dan solehah.
Apabila merenungi diri, terasa malu kepada diri sendiri. Bagaimana mungkin membentuk anak soleh dan solehah jika pembawaan ibu bapa sendiri tidak begitu? Anak solehahkah daku kepada ibu bapaku?

KESUNGGUHAN membaca al-Quran akan memantapkan rohani dan menjernihkan hati selain perlu dijadikan gaya hidup bagi seseorang Muslim.



Duhai wanita yang mengharapkan anak soleh dan solehah. Ajarkan kalimah Allah. Jadilah guru pertama kepada anak-anak yang mengajarkan kalimah suci daripada Allah SWT. Surah al-Fatihah akan sentiasa dibaca oleh mereka di dalam sembahyang selagi ada hayatnya sebagai orang beriman. Insya-Allah, ia menjadi ilmu yang bermanfaat.
Duhai wanita yang mendambakan anak yang soleh dan solehah. Apakah kita sebagai ibu bapa mengetahui isi kandungan al-Quran? Apakah kita sendiri membuka dan memahami setiap helaian warkah Allah ini? Apakah kita sekadar mendengar beberapa potongan ayat sahaja?
Tahukah kita bahawa kitab suci Allah itu mengandungi pelbagai pesanan, peringatan, kata nasihat, motivasi diri dan penawar hati? Percayakah kita jika dilanda masalah atau hati resah gelisah, selaklah helaian warkah Allah itu dan akan terasa damai di hati.


Hidayah
Duhai wanita solehah yang mahu melahirkan anak soleh dan solehah. Berbahagialah dirimu dengan taufik dan hidayah Allah. Berbahagialah diri yang telah dilahirkan sebagai seorang Islam, menjalani kehidupan seharian dengan pembawaan orang Islam dan semoga diakhiri kematian juga sebagai seorang Islam.
Marilah kita sampai-menyampaikan perkara-perkara yang membawa kebai- kan. Marilah kita saling ingat-mengingati untuk melakukan amal kebaikan yang diredai Allah. Marilah kita sama- sama mengajak mengimarahkan bacaan dan memahami warkah ayat- ayat suci Allah.
Di dalam al-Quran ada manual untuk ibu bapa bagaimana contoh bapa yang beriman seperti Luqman berpesan dan mengajar anak-anaknya tentang tauhid serta tingkah laku orang beragama Islam. Nama Luqman disemadi di dalam kitab suci Allah sedangkan beliau bukannya seorang nabi.
Nama Mariam, ibu kepada Isa Ibnu Mariam diangkat martabatnya sebagai wanita yang rajin beribadah kepada Allah. Seluruh kehidupannya hanya untuk Allah. Asiah bersuamikan Firaun dijanjikan sebuah mahligai indah di syurga. Sedangkan Firaun sendiri adalah sezalim-zalim dan sekufur- kufur manusia yang termaktub di dalam al-Quran.
Duhai wanita solehah yang dirahmati Allah, al-Quran itu warkah Allah. Jika sayangkan anak, tinggalkan pesanan yang baik- baik dengan berpandukan al-Quran.
Berilah peringatan atau amaran agar anak menjadikannya sempadan untuk tidak menghampiri perkara mungkar. Kisah-kisah kebina- saan kaum-kaum terdahulu bukan sebagai halwa telinga semata-mata tetapi untuk diambil iktibar daripadanya.
Kami mohon keampunanMu, ya Allah.

Advertisement

Catat Ulasan Blogger

 
Top