ShahKB ShahKB Author
Title: Dulu buruh kini tauke
Author: ShahKB
Rating 5 of 5 Des:
Berasal daripada keluarga susah dan didedahkan dengan kerja kontrak pembinaan sejak usia belasan tahun, menyedarkan Pengarah Urusan Tan...

Berasal daripada keluarga susah dan didedahkan dengan kerja kontrak pembinaan sejak usia belasan tahun, menyedarkan Pengarah Urusan Tanjung Boulevard Sdn Bhd, Ahmad Fizal Azrat Gull, 38, bahawa rezeki tidak akan datang bergolek tanpa usaha yang tidak mengenal erti lelah.
Ketika menginjak usia 16 tahun, dia bukan setakat mengikut ayahnya melihat kerja buruh yang dijalankan sebagai kontraktor pembinaan, malah turut sama membantu dengan mengangkat batu bata, memasang jubin dan membancuh simen di tapak projek.
Pendedahan awal ini sedikit sebanyak meninggalkan kesan mendalam pada dirinya sehingga dia tekun berusaha meningkatkan taraf hidup melalui usaha serta semangat yang tidak pernah padam untuk berjaya.

Dek selalu membantu ayahnya, secara tidak langsung anak jati Kuala Lumpur ini menjadi mahir dalam kerja kontrak sehingga dia mula bergerak sendiri mengambil upah mengecat dan memasang jubin di sekitar Lembah Klang.

Katanya, ketika belajar peringkat Diploma Sains Komputer, dia tetap tidak menjadikan bidang akademik sebagai penghalang untuk mengambil upah kerja kontrak demi mengumpul duit poket sendiri, selain menambah ilmu dalam bidang perniagaan.

“Sambil belajar, saya buat kerja sambilan antaranya mengecat rumah orang, pasang dan betulkan jubin atas keinginan sendiri. Malah, sekitar usia 22 tahun, saya sudah pandai mencari kontrak sendiri.

“Sampai satu masa, saya sudah tidak lagi turun padang melakukan kerja kontrak, sebaliknya mengupah pekerja. Saya juga tidak lagi mengambil upah kontrak kecil-kecilan, tetapi mencari kontraktor lain untuk melakukannya,” katanya ketika ditemui, baru-baru ini.

Prinsipnya yang begitu menekankan aspek disiplin, jujur, amanah dan percaya setiap kerja perlu dilakukan bersungguh-sung-guh secara teliti, membuatkannya memiliki reputasi yang baik dalam kalangan pelanggan hingga khidmatnya sentiasa mendapat permintaan.

Apabila semakin ramai yang yakin kepada kemampuannya, Ahmad Fizal mula beralih sebagai pemaju hartanah berskala kecil antaranya menyiapkan projek perumahan termasuk 45 unit rumah teres, 20 unit rumah kedai dan beberapa rumah banglo di sekitar Lembah Klang serta menjalankan kerja peng-ubahsuaian.

“Apabila buat sesuatu, mesti buat sampai habis, teliti dan tekun supaya orang puas hati dengan kita. Kita perlu bina keyakinan orang supaya sentiasa mendapat kerja.

“Saya juga tidak suka membiarkan masa berlalu begitu saja. Jadi saya akan melakukan apa saja yang boleh mendatangkan kebaikan.

“Pada masa sama, kita harus pandai mengatur kewangan dalam mendapatkan modal memulakan perniagaan kerana pada awal usaha membina syarikat, tiada bank yang hendak bantu. Pada saya yang paling penting biar susah dulu, tetapi senang pada kemudian hari,” katanya.

Selepas perniagaan dalam bidang hartanah berjaya, Ahmad Fizal mula mengembangkan perniagaan dalam bidang pembekalan produk berkaitan minyak dan gas kepada pelanggan melalui perkhidmatan logistik.

Malah, sifatnya yang begitu mementing-kan kesempurnaan membuatkan Ahmad Fizal tidak betah hanya duduk di pejabat, sebaliknya turut turun padang untuk melihat sendiri setiap kali masalah timbul biar sekecil manapun, termasuk apabila lori syarikat mengalami kerosakan.

Sejak dua tahun lalu, ayah kepada seorang anak ini terus giat melebarkan sayap dalam bidang perniagaan makanan pula apabila menubuhkan restoran burger bakar di bawah syarikat Burgerbyte Sdn Bhd bersama beberapa rakan kongsi.

“Idea untuk membuka restoran ala gerai eksklusif timbul apabila melihat fenomena burger bakar yang begitu popular ketika ini. Saya bergabung dengan lima rakan kongsi yang ada pengalaman dan kemahiran dalam bidang masing-masing untuk mengembang-kan perniagaan ini.

“Jika selalunya burger bakar dijual di gerai tepi jalan saja, saya dan rakan kongsi mendapat idea menjual burger bakar kami meng-gunakan konsep restoran yang lebih selesa, tetapi ia masih terletak di tepi jalan,” katanya yang turut memaparkan menu di Instagram/burgerbyte.

Menggunakan pengetahuan dan kemahiran sedia ada, Ahmad Fizal mendirikan restoran pertama Burgerbyte di Sentul dengan konsep tersendiri iaitu gerai eksklusif buat keselesaan pelanggan yang mahu menikmati keenakan menu burger bakar keluarannya.

Menurutnya, lebih menggembirakan, pada hari pertama pelanggan datang berpusu-pusu untuk merasai sendiri suasana unik restorannya hingga tidak cukup kerusi.

“Keistimewaan Burgerbyte adalah dagingnya kita hasilkan sendiri di kilang untuk menjaga mutu dan setanding dengan restoran ternama,” katanya.

Sehingga kini, restoran itu semakin ber-kembang dan kini memiliki 11 cawangan termasuk di Batu Caves, Bukit Beruntung, Damansara Perdana, Bangi, Saujana Putra, Kota Bharu, Melaka dan Senawang, Negeri Sembilan.

Terus gigih mengembangkan cabang perniagaannya itu, Ahmad Fizal mengakui apa saja bentuk peniagaan tidak akan berjaya sekiranya ia hanya dilakukan seorang diri, sebaliknya kerjasama rakan kongsi dan pekerja amat penting dalam membina kejayaan.

“Saya memang minat pada bidang perniagaan sejak kecil dan tidak pernah bekerja dengan orang. Prinsip saya jika hendak duit, kenalah berusaha.

“Apabila saya dengar segelintir anak muda kata mereka menganggur sebab tidak ada pekerjaan, saya rasa sangat sedih sedangkan rezeki itu ada di mana-mana, cuma usaha dan kemahiran saja yang diperlukan. Bagaimanapun, hendak salahkan mereka pun tidak adil kerana mungkin mereka tidak mendapat pendedahan,” katanya.

Selain membina empayar perniagaan, Ahmad Fizal turut menjadikan perniagaannya sebagai medium untuk membantu anak muda berdikari dengan berkongsi kemahiran supaya mereka juga dapat memulakan perniagaan sendiri satu masa nanti.

Katanya, selain kemahiran dan pengalaman, sifat mulia seperti amanah, jujur dan berdisplin penting dalam memajukan diri.

“Mereka yang hendak berjaya terutama dalam perniagaan juga harus mempunyai rangkaian yang luas misalnya dengan menyertai persatuan dan bertemu rakan baru untuk mengembangkan perniagaan,” katanya.

Sementara itu, Ahmad Fizal mengakui mengimbangi dunia perniagaan dan keluarga penting buat dirinya, lalu setiap kali mempunyai waktu lapang, dia menghabiskan masa membawa anak dan isteri keluar bersiar-siar.

Demi insan tersayang juga, biar sesibuk manapun, dia memastikan temu janji selepas waktu pejabat dihadkan supaya dapat berada bersama keluarga.

Advertisement

Catat Ulasan Blogger

 
Top