ShahKB ShahKB Author
Title: Orang mengutuk kita di belakang? Alhamdulillah dapat pahala percuma
Author: ShahKB
Rating 5 of 5 Des:
Biasanya manusia akan suka kepada barang-barang percuma. Tetapi ramaikah yang suka kepada pahala percuma? Kalau anda salah seorang yang suka...


Biasanya manusia akan suka kepada barang-barang percuma. Tetapi ramaikah yang suka kepada pahala percuma? Kalau anda salah seorang yang suka kepada pahala percuma, maka berlapang dada dan senyum-senyum lah jika anda diumpat dan dikutuk di belakang, kerana pahala orang yang mengumpat itu akan dapat kepada anda secara percuma.

Diriwayatkan oleh Abu Ummah al-Bahili, di akhirat nanti seorang akan terkejut besar apabila melihat catatan amalan kebaikan yang tidak pernah dilakukannya di dunia. Maka, dia berkata kepada Allah: “Wahai Tuhanku, dari manakah datangnya kebaikan yang banyak ini, sedangkan aku tidak pernah melakukannya? Maka Allah menjawab: Semua itu kebaikan (pahala) orang yang mengumpat engkau tanpa engkau ketahui.”

Kenapa perlu mengumpat (ghibah) atau mengutuk orang di belakangnya? Jika ada suatu perkara yang seseorang itu buat silap, sepatutnya kita pergi padanya dan tegur dengan berhikmah secara berdepan, lebih-lebih lagi jika kesilapan yang dia lakukan itu hanya dosa kecil atau tersilap. Jika kita mengutuk seseorang itu di belakangnya, tak semena-mena pahala kita akan dikutip olehnya sedikit demi sedikit. Tak ke sangat rugi kita? Hanya sekadar mahu mempersenda, melepaskan marah atau ketidak-puas hatian yang sekejap hingga hilang banyak pahala.

"Janganlah sebahagian di antara engkau semua itu mengumpat sebahagian yang lainnya. Sukakah seseorang di antara engkau semua makan daging saudaranya dalam keadaaan dia sudah mati, maka tentu engkau semua membenci. Takutlah kepada Allah, sesungguhnya Allah adalah Maha Menerima taubat lagi Penyayang." (Surah Al-Hujurat : 12)

Kadang-kala, kutukan dan ejekan di belakang orang itu bukannya kerana dia buat salah atau dosa, tetapi hanya kerana perbuatannya itu tidak menepati selera dan kehendak kita. Dah kalau dia tidak buat dosa, kenapa kita tak pasal-pasal mengumpatnya? Dan lagi adakalanya kerana cemburu dan hasad dengki terhadap kejayaan atau kelebihan yang ada padanya.

Sepatutnya, jika kita bersembang dengan orang kita boleh dapat pahala jika bercakap perkara-perkara baik dan bermanfaat, seperti sembang ilmiah, berbincang tentang ilmu agama yang diketahui masing-masing, memberi nasihat, ingat-mengingat kepada kebenaran, kesabaran, kematian dan sebagainya.

Tetapi tidak, kita bercakap tentang keburukan dan keaiban orang lain, mengejek-ejek tanpa mengambil kira maruahnya jatuh atau tidak. Kalau tak masuk bab mengumpat pun, mungkin akan masuk bab fitnah (namimah).

Orang yang suka mendengar seseorang mengumpat pun sepatutnya baca dan hayati baik-baik firman Allah ini yang bermaksud, "Orang-orang mu'min ialah orang-orang yang berpaling dari kata-kata yang tidak berguna." (Surah Al-Mu'minun: 3). Maka jika anda suka sangat mendengar orang lain mengumpat, pastikah anda betul-betul seorang yang beriman?

Dan jika anda suka mencegah orang mengumpat pula, begini ganjarannya. Dari Abuddarda' r.a. dari Nabi s.a.w., sabdanya: "Barangsiapa yang menolak dari keperwiraan saudaranya - seperti mencegah orang yang hendak mengumpat saudaranya itu di hadapannya, maka Allah menolak diri orang itu dari neraka pada hari kiamat" - Saudara yang dimaksudkan ialah orang yang sesama Muslim atau mu'min.  (Diriwayatkan oleh Imam Tirmidzi dan dia mengatakan bahawa ini adalah Hadits Hasan).

Dari Abu Hurairah r.a. dari Nabi s.a.w., sabdanya: "Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhir, maka hendaklah dia berkata yang baik atau (kalau tidak dapat berkata yang baik), hendaklah dia berdiam diri saja." (Muttafaq 'alaih)

Dari Abu Musa r.a., katanya: "Saya berkata: "Ya Rasulullah, manakah kaum Muslimin itu yang lebih utama?" Beliau s.a.w. menjawab: "Iaitu yang orang-orang Islam lain merasa selamat daripada gangguan lisannya serta dari tangannya." (Muttafaq 'alaih)

Dari Ibnu Umar radhiallahu 'anhuma, katanya: "Rasulullah s.a.w. bersabda: "Janganlah engkau semua memperbanyakkan kata-kata, selain untuk berzikir kepada Allah Ta'ala, sebab sesungguhnya banyaknya pembicaraan kerasnya hati dan sesungguhnya sejauh-jauh manusia dari Allah ialah yang berhati keras," (yakni enggan menerima petunjuk baik). (Hadits Riwayat Tirmidzi)

Mungkin kita tidak dapat lari dari kesalahan mengumpat ini sekali-sekala, kerana kita bukan maksum. Mungkin kerana terlanjur, tidak sengaja, terlupa dan sebagainya. Maka dosa-dosa yang dilakukan itu tertanggung lah oleh kita. Apa-apa pun semoga kita dapat meminta maaf pada yang punya badan, jika kita terlanjur mengumpatnya. Dan yang paling penting, semoga kita tidak jadikan mengumpat (yang dilarang) sebagai hobi kita.


Mengumpat yang dibolehkan dalam Islam

Mengumpat yang dilarang secara asasnya ialah seperti maksud hadits  “Mengumpat itu ialah apabila kamu menyebut perihal saudaramu dengan sesuatu perkara yang dibencinya.”(Hadis riwayat Muslim). Akan tetapi ada juga tempat-tempat dan ketikanya dibolehkan mengumpat. 

Imam Nawawi dalam kitab Syarah Shahih Muslim dan Riyadhu As-Shalihin, menyatakan bahawa ghibah hanya diperbolehkan untuk tujuan syara’ iaitu yang disebabkan oleh enam hal, iaitu:

1 - Orang yang mazlum (dizalimi) boleh menceritakan dan mengadukan kezaliman orang yang menzaliminya kepada seorang penguasa atau hakim atau kepada orang yang berkuasa memutuskan suatu perkara dalam rangka menuntut haknya.

Hal ini dijelaskan dalam Al-Qur’an surat An-Nisa ayat 148:

“Allah tidak menyukai ucapan buruk (yang diucapkan) dengan terus terang kecuali oleh orang yang dianiaya. Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.” (Surah An-Nisaa’ : 148).

Ayat ini menjelaskan bahawa orang yang teraniaya boleh menceritakan keburukan perbuatan orang yang menzaliminya kepada khalayak ramai. Bahkan jika dia menceritakannya kepada seseorang yang mempunyai kekuasaan dan kekuatan untuk menegakkan amar ma’ruf nahi munkar, seperti seorang pemimpin atau hakim, dengan tujuan mengharapkan bantuan atau keadilan, maka sudah jelas boleh hukumnya.

Tetapi walaupun kita boleh mengghibah orang yang menzalimi kita, pemberian maaf atau menyembunyikan suatu keburukan adalah lebih baik. Hal ini ditegaskan pada ayat berikutnya, iaitu Surat An-Nisa ayat 149:

“Jika kamu menyatakan kebaikan atau menyembunyikan atau memaafkan sesuatu kesalahan (orang lain), maka sesungguhnya Allah Maha Pemaaf lagi Maha Kuasa.” (Surah An-Nisaa': 149)

2 - Meminta bantuan untuk menyingkirkan kemungkaran dan agar orang yang berbuat maksiat kembali ke jalan yang benar. Pembolehan ini dalam rangka isti’anah (minta tolong) untuk mencegah kemungkaran dan mengembalikan orang yang bermaksiat ke jalan yang hak. Selain itu ini juga merupakan kewajiban manusia untuk ber amar ma’ruf nahi munkar. Setiap muslim harus saling tolong-menolong menegakkan kebenaran dan meluruskan jalan orang-orang yang menyimpang dari hukum-hukum Allah, hingga nyata garis perbezaan antara yang haq dan yang bathil.

3 - Istifta’ (meminta fatwa) akan sesuatu hal. Walaupun kita diperbolehkan menceritakan keburukan seseorang untuk meminta fatwa, untuk lebih berhati-hati, ada baiknya kita hanya menyebutkan keburukan orang lain sesuai yang ingin kita adukan, tidak lebih.

4 - Memperingatkan kaum muslimin dari beberapa kejahatan seperti:

a. Apabila ada perawi, saksi, atau pengarang yang cacat sifat atau kelakuannya, menurut ijma’ ulama kita boleh bahkan wajib memberitahukannya kepada kaum muslimin. Hal ini dilakukan untuk memelihara kebersihan syariat. Ghibah dengan tujuan seperti ini jelas diperbolehkan, bahkan diwajibkan untuk menjaga kesucian hadits. Apalagi hadits merupakan sumber hukum kedua bagi kaum muslimin setelah Al-Quran.

b. Apabila kita melihat seseorang membeli barang yang cacat atau membeli budak (untuk masa sekarang boleh dianalogikan dengan mencari seorang pembantu rumah tangga) yang pencuri, peminum, dan sejenisnya, sedangkan si pembelinya tidak mengetahui. Ini dilakukan untuk memberi nasihat atau mencegah kejahatan terhadap saudara kita, bukan untuk menyakiti salah satu pihak.

c. Apabila kita melihat seorang penuntut ilmu agama belajar kepada seseorang yang fasik atau ahli bid’ah dan kita khuatir terhadap bahaya yang akan menimpanya. Maka kita wajib menasihati dengan cara menjelaskan sifat dan keadaan guru tersebut dengan tujuan untuk kebaikan semata.

5 - Menceritakan kepada khalayak tentang seseorang yang berbuat fasik atau bid’ah seperti, minum-minuman keras, menyita harta orang secara paksa, memungut pajak liar atau perkara-perkara bathil lainnya. Ketika menceritakan keburukan itu kita tidak boleh menambah-nambahinya dan sepanjang niat kita dalam melakukan hal itu hanya untuk kebaikan.

6 - Bila seseorang telah dikenali dengan julukan si tempang, si pendek, si bisu, si buta, atau sebagainya, maka kita boleh memanggilnya dengan gelaran di atas agar orang lain terus mengerti.

Tetapi jika tujuannya untuk menghina, maka haram hukumnya. Jika dia mempunyai nama lain yang lebih baik, maka lebih baik memanggilnya dengan nama lain tersebut. 

Maka jika kita sendiri termasuk dalam golongan manusia yang boleh diumpat ini,  bersedialah untuk diumpat kerana kesilapan yang kita sendiri lakukan. Semoga kita akan menjadi insaf dan berubah ke arah kebaikan selepas itu.


Tambahan dalil-dalil kepada mengumpat yang dibolehkan

1528. Dari Aisyah radhiallahu ‘anha bahawasanya ada seorang lelaki meminta izin kepada Nabi s.a.w untuk menemuinya, lalu beliau s.a.w bersabda untuk menemuinya, lalu beliau s.a.w bersabda – kepada sahabat-sahabat: ”Izinkanlah dia, dia adalah seburuk-buruknya orang dari seluruh keluarganya.” (Muttafaq ‘alaih)

Imam bukhari mengambil keterangan dari hadits ini akan bolehnya mengumpat pada orang-orang yang suka membuat kerosakan serta ahli bimbang (tidak berpendirian tetap).

1529. Dari Aisyah radhiallahu ‘anha, katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: “ Saya tidak meyakinkan kepada si fulan dan si fulan itu bahawa keduanya itu mengetahui sesuatu perihal agama kita”

Diriwayatkan oleh Imam Bukhari, dia berkata:  “Allaits bin Sa’ad, salah seorang yang meriwayatkan hadis ini berkata: ”Kedua orang lelaki ini termasuk golongan kaum munafik."

1530. Dari Fathimah binti Qais radhiallahu ‘anha, katanya: “Saya mendatangi Nabi s.a.w. lalu saya berkata: “Sesungguhnya Abuljahm dan Mu’awiyah itu sama-sama melamar diriku.” Rasulullah s.a.w. lalu bersabda: “Ada pun Mu’awiyah itu adalah seorang fakir yang tiada berharta, sedangkan Abuljahm adalah seorang yang tidak sempat meletakkan tongkat dari bahunya.” (Muttafaq ‘alaih)

Dalam riwayat Imam Muslim disebutkan:

“Adapun Abuljahm, maka dia adalah seorang yang gemar memukul wanita.” Ini adalah sebagai tafsiran dari riwayat yang menyebutkan bahwa dia tidak sempat meletakkan tongkat dari bahunya. Ada pula yang mengertikan lain ialah bahawa “tidak sempat meletakkan tongkat dari bahunya” itu ertinya banyak sekali bepergiannya.

1531. Dari Zaid bin Arqam r.a., katanya: “Kita keluar bersama Rasulullah s.a.w. dalam suatu perjalanan yang menyebabkan orang ramai memperolehi kesukaran, lalu Abdullah bin Ubay berkata: “Janganlah engkau semua memberikan apa-apa kepada orang yang ada berdekatan Rasulullah, sehingga mereka pergi – yakni berpisah dari sisi beliau s.a.w. itu.” Selanjutnya dia berkata lagi: “Nescayalah kalau kita sudah kembali ke Madinah, sesungguhnya orang yang berkuasa akan mengusir orang yang rendah.”

Saya lalu mendatangi Rasulullah s.a.w. dan memberitahu hal ucapannya Abdullah bin Ubay di atas. Beliau s.a.w. menyuruh Abdullah bin Ubay datang padanya, tetapi dia bersungguh-sungguh dalam sumpahnya bahawa dia tidak melakukan itu - yakni tidak berkata sebagaimana di atas. Para sahabat lalu berkata: “Zaid berdusta kepada Rasulullah s.a.w.” Dalam jiwaku terasa amat berat sekali kerana ucapan mereka itu, sehingga Allah Ta’ala menurunkan ayat, untuk membenarkan apa yang saya katakan tadi, iaitu – yang ertinya: “Jikalau orang-orang munafik itu datang padamu.” (al-Munafiqun: 1)

Nabi s.a.w. lalu memanggil mereka untuk dimintakan pengampunan – yakni supaya orang-orang yang mengatakan bahawa Zaid berdusta itu dimohonkan pengampunan kepada Allah oleh beliau s.a.w., tetapi orang-orang itu memalingkan kepalanya – yakni enggan untuk dimintakan pengampunan.” (Muttafaq ‘alaih)

1532. Dari Aisyah radhiallahu ‘anha, katanya: “Hindun iaitu isterinya Abu Sufyan berkata kepada Nabi s.a.w.: “Sesungguhnya Abu Sufyan itu seorang lelaki yang kedekut, dia tidak memberikan nafkah yang dapat mencukupi keperluanku dan keperluan anakku, melainkan dengan cara saya mengambil sesuatu daripadanya, sedang dia tidak mengetahuinya. “Beliau s.a.w. lalu bersabda:” Ambil sajalah yang sekiranya dapat mencukupi keperluanmu dan untuk kepentingan anakmu dengan baik-baik – yakni jangan berlebih-lebihan.” (Muttafaq ‘alaih)


Jalan jelas untuk ke syurga

Dari Mu'az r.a., katanya: "Saya berkata: "Ya Rasulullah, beritahukanlah kepada saya dengan sesuatu amalan yang dapat menyebabkan saya masuk syurga dan menjauhkan saya dari neraka." Beliau s.a.w. bersabda: 

"Nescayalah engkau itu menanyakan sesuatu persoalan yang agung - yakni penting, tetapi sesungguhnya hal itu adalah mudah bagi orang yang dipermudahkan oleh Allah. Iaitu supaya engkau menyembah kepada Allah, tidak menyekutukan sesuatu denganNya, mendirikan shalat, menunaikan zakat, berpuasa dalam bulan Ramadhan dan mengerjakan ibadah haji di Baitullah." Selanjutnya beliau s.a.w. bersabda: "Sukakah engkau saya tunjukkan pada pintu-pintu kebaikan? Puasa adalah perisai (dari berbuat kemaksiatan), sedekah itu dapat melenyapkan kesalahan (yakni dosa) sebagaimana air memadamkan api dan pula shalat seseorang di tengah malam." Seterusnya Rasulullah s.a.w. membaca ayat yang ertinya:

"Lambung-lambung mereka meninggalkan tempat-tempat tidur (yakni mereka tidak tidur)," sehingga sampai pada firmanNya yang ertinya: "Apa yang mereka kerjakan."

Selanjutnya beliau s.a.w. bersabda lagi: "Sukakah engkau saya beritahu tentang pokok perkara - yakni Agama Islam ini, tiangnya dan pula puncak punggungnya?" Saya menjawab: "Baiklah, ya Rasulullah." Beliau s.a.w. lalu bersabda: "Pokoknya ialah Islam, tiangnya ialah shalat, sedang puncak punggungnya ialah jihad." 

Seterusnya beliau s.a.w. bersabda pula: "Sukakah engkau saya beritahu tentang pangkal yang mengemudikan semua itu?" Saya menjawab: "Baiklah, ya Rasulullah." Beliau s.a.w. kemudian mengambil lisannya lalu bersabda: "Tahanlah ini atas dirimu (yakni berhati-hatilah mengemudikan lidah itu)." Saya berkata: "Ya Rasulullah, apakah kita ini pasti akan dituntut (yakni diterapi hukuman) dengan apa yang kita bicarakan itu?" Beliau s.a.w. menjawab: "Kehilangan engkau ibumu (Ini merupakan kata kebiasaan bagi bangsa Arab), seperti kita mengatakan: Celaka engkau ini, tidakkah para manusia itu dimasukkan dalam neraka dengan tersungkur di atas muka-mukanya itu, melainkan hanya kerana hasil perkataannya?"  (Diriwayatkan oleh Imam Tirmidzi dan dia mengatakan bahawa ini adalah Hadits hasan shahih).

Advertisement

Catat Ulasan Blogger

 
Top