Sejak kebelakangan ini ada saja kisah negatif yang dikaitkan dengan kumpulan Shiro. Naib juara Maharaja Lawak Mega 2013 (MLM3) ini bukan saja dituduh mungkir janji dan datang lewat, malah pernah dituduh mencuri idea serta bergaduh dengan peserta MLM3.
Menurut salah seorang anggota Shiro, Ajak yang ditemui ketika majlis sidang media filem ‘Suatu Malam Kubur Berasap 2’ di Outloud Studios, pada Khamis, dia berasa kesal dengan tuduhan yang dilemparkan pihak tidak bertanggungjawab itu apatah lagi perkara tersebut mampu memberi reputasi buruk terhadap kumpulan mereka.
“Sebelum ini kami lebih selesa mengambil pendekatan untuk berdiam diri sahaja sebab mungkin segala fitnah yang ditabur akan hilang begitu saja. Kami juga tidak mahu memanjangkan isu yang timbul dan cuba abaikan apatah lagi kebanyakan cerita yang keluar semuanya tidak betul. Namun, bila kami berdiam diri, nampaknya orang lebih pijak dan makin banyak pula cerita yang keluar,” tutur Ajak yang turut dikaitkan dengan isu penyalahgunaan dadah.
“Saya orang tentera, jadi saya tahu mana salah dan mana betul. Tidak pernah terlintas pun dalam diri saya untuk buat perkara macam itu. Isu ini timbul sebab badan saya kurus. Berat badan saya turun empat kilogram bukan sebab mengambil dadah tetapi kerana terlalu penat bekerja. Lagipun, baru-baru ini saya dimasukkan ke hospital akibat demam denggi hampir dua minggu dan disebabkan itulah badan saya semakin susut,” jelas pemilik nama Mohd Hanaffi Razak ini lagi.
Tambah Ajak, isu pengambilan dadah ini tidak harus timbul kerana dia sendiri sudah melepasi ujian air kencing dan pemeriksaan kesihatan untuk terlibat sebagai peserta laut dalam bagi sebuah program baru di Astro Warna, ‘Juara Joran’.
“Saya tak faham kenapa ada pihak yang tidak berpuas hati serta cuba menabur fitnah dengan memburuk-burukkan kami. Sebelum ini pun kami dituduh kononnya digam RTM, tapi kenapa sehingga sekarang kami masih buat lagi dengan stesen tersebut. Entahlah, mungkin ada pihak yang mahu menjatuhkan kami.
Saya tidak tahu apa niat dan tujuannya berbuat begitu, namun apa saja yang orang itu cuba lakukan, perkara ini dah menganggu periuk nasi saya, isteri dan anak-anak. Saya rasa sudah tiba masanya saya mempertahankan diri kerana cukuplah dengan apa yang dilemparkan terhadap kami selama ini.”
Beberapa hari lepas, Ajak turut dihentam apabila memuat naik gambar di Instagram miliknya yang menunjukkan anaknya dibelit seekor ular. Tindakannya itu mencetuskan kemarahan segelintir pihak yang mendakwa Ajak tidak menghiraukan keselamatan anaknya dengan mendedahkan anaknya itu dengan bahaya. Ajak ketika ditemui turut menjelaskan mengenai perkara tersebut.
“Anak ular Albino itu kami bela sejak sebulan lebih yang lalu. Anak kedua saya itu memang minat dengan ular dan kalau dia sedar pun dia akan pegang ular itu. Saya tak sangka ada pihak yang tak suka serta cakap tindakan saya bodoh dan sebagainya. Saya tak salahkan mereka sebab mungkin mereka tak tahu ular itu bahaya atau tidak tapi jangan disebabkan mereka geli dan tak suka kepada ular, mereka juga tak suka tengok gambar itu,” ujarnya mengakhiri perbualan.
Catat Ulasan Blogger Facebook