ShahKB ShahKB Author
Title: Diskaun di restoran mamak jika menang Piala Thomas
Author: ShahKB
Rating 5 of 5 Des:
PERSATUAN  Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma) sedia menawarkan harga diskaun ke atas menu makanan dan minuman sekiranya Malaysia me...
PERSATUAN Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma) sedia menawarkan harga diskaun ke atas menu makanan dan minuman sekiranya Malaysia menjuarai Piala Thomas 2014 esok.

Presidennya, Noorul Hassan Sani Hameed berkata, pihaknya akan berbincang dengan lebih 6,000 ahli persatuan itu untuk memberikan pakej makanan dan minuman istimewa jika Malaysia berjaya membawa pulang piala tersebut selepas 22 tahun.

"Kami tidak membuat perancangan sebelum ini kerana kami pun tidak sangka Malaysia boleh masuk final", katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Beliau berkata, sudah kelaziman bagi anggota persatuan itu menyediakan televisyen dan skrin besar di premis untuk pelanggan mengikuti siran langsung acara sukan.

Mengakui sukan memupuk perpaduan masyarakat, Noorul Hassan, yang mensasarkan Malaysia menang 3-1 ke atas Jepun, berkata persekitaran muhibah dan 'boleh duduk semeja' dapat dilihat setiap kali acara sukan ditayangkan.

Penantian Malaysia selama 12 tahun untuk beraksi di final berakhir apabila menewaskan juara 13 kali, Indonesia 3-0 di separuh akhir Piala Thomas di New Delhi, India, semalam.

Malaysia akan berdepan dengan Jepun yang pertama kali melakar sejarah ke final dengan mengejutkan juara bertahan China 3-0 di separuh akhir.

Kali terakhir negara beraksi di pentas final adalah pada edisi 2002 di Guangzhou, China apabila tewas 3-2 kepada Indonesia dan menjulang piala berprestij itu pada 1992 apabila muncul juara di Kuala Lumpur.

Sementara itu pelbagai reaksi turut dikongsi rakyat serta peminat badminton tanahair.

Bekas wartawan sukan Bernama TV, Noah Tan menjangkakan Malaysia memperoleh kemenangan 3-2 ke atas Jepun berdasarkan prestasi mantap skuad badminton negara.

"Malaysia ada harapan untuk menang kerana kesemua pemain muda telah menunjukkan prestasi memberangsangkan sejak bermulanya kejohanan itu.

"Tapi semestinya pertandingan sengit untuk menentang Jepun kerana mereka juga mempunyai pemain muda perseorangan yang mampu mencipta kejutan apabila menewaskan juara bertahan, China dalam separuh akhir", katanya.

Pelajar Politeknik Metro Kuala Lumpur, Arvind Singam, 20, turut optimis bahawa kemenangan akan berpihak kepada Malaysia.

"Kelayakan Malaysia ke final membuktikan pasukan negara telah bangkit daripada kesuraman akibat ditewaskan sebelum ini. Pasukan kita juga sudah bertambah kuat", katanya yang sejak kecil mengagumi jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei.

Usahawan, Ahmad Syahir Izani Tajodin, 28, berharap skuad negara terus mengekalkan momentum terbaik dan tidak leka meskipun berdepan dengan Jepun yang pertama kali melangkah ke final.

"Skuad negara tidak boleh selesa dan perlu bekerja keras kerana kita tidak tahu apa potensi dan strategi sebenar pihak lawan yang sebelum ini bukan pasukan pilihan dalam Piala Thomas", katanya. - Bernama

Advertisement

Catat Ulasan Blogger

 
Top