Mengikut Laporan Kemajuan Negara, Kementerian Kesihatan, sebanyak 94,841 kes Sindrom Kurang Daya Tahan Penyakit (Aids) dilaporkan hingga Disember tahun lalu membabitkan 14,986 kematian.
Jumlah itu sungguh menakutkan dan wajar dipandang serius semua pihak supaya dapat dibendung sebelum menjadi barah dalam masyarakat.
Menyedari seriusnya kes Aids,Wajah Kehidupan mengupas isu ini dengan pengalaman tiga penghidap menjadi paparan laporan pertama hari ini.
MENGAMBIL dadah berlebihan dan melakukan hubungan seks secara rambang dengan pekerja seks seawal usia 16 tahun memudaratkan hidup Azwan Hanif, 30, (bukan nama sebenar).
Ketagihan melampau terhadap najis dadah dan seks bebas menyebabkan dia disahkan menghidap Aids pada 2004 sebelum separuh badannya lumpuh setahun kemudian dan sehingga kini lelaki berasal dari utara tanah air itu menderita akibat kesilapan silamnya.
Menurut Azwan, bergelumang dengan dosa dan noda sejak 15 tahun lalu dan terbiasa hidup mewah gara-gara hubungan terlarang dengan wanita yang 10 tahun lebih tua daripadanya membuatkan dia lupa diri.
Katanya, berikutan sering dimanjakan Kak Shida (bukan nama sebenar) dengan wang melimpah selain makan dan pakaiannya ditaja wanita itu membuatkan dia alpa tanggungjawabnya sebagai pelajar hingga menjadi titik mula episod hitam dalam hidupnya.
“Saya hanya sempat mengambil Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan selepas itu meninggalkan bangku sekolah seawal usia 16 tahun kerana merasakan tanpa pelajaran pun saya boleh pergi lebih jauh dan boleh berjaya dalam hidup. Apatah lagi saya fikir Kak Shida mampu memberi apa yang saya perlukan dalam hidup.
“Yang terbayang ketika itu hanya keseronokan, sama ada hendak ke parti tertentu dan berhibur, rokok, minum arak sehingga terjebak dengan najis dadah, semuanya diajar Kak Shida.
“Selama bertahun-tahun tinggal bersama dan melakukan hubungan seks, saya rasa bahagia dengannya tetapi dalam tempoh itu, saya tidak tahu kerjayanya dan dia tidak pernah menceritakan. Beberapa tahun kemudian, baru saya tahu dia sebenarnya pekerja seks,” katanya.
Menyedari status Kak Shida, Azwan cuba menjauhkan diri daripada wanita itu dan berhijrah ke ibu kota. Dia berharap mampu berubah ke arah kebaikan, sebaliknya langkah makin ligat apabila semakin berani bercampur gaul dengan golongan penagih dadah dan menjadi penagih tegar.
Di Kuala Lumpur, kehidupan sosial dan perbuatan maksiatnya semakin menjadi-jadi kerana dunia gelap bagaikan sebati dengan hidup Azwan. Dia bukan saja melanggan pelacur, bahkan mempunyai teman wanita dan sering melakukan sumbang mahram.
Ketagihan dadahnya juga menjadi-jadi sehingga ditangkap pihak berkuasa dan pernah keluar masuk penjara sebanyak tiga kali.
Sebaik keluar penjara, dia ditahan di pusat serenti kerana didapati masih menagih dadah. Soal keluar masuk pusat serenti mahupun penjara bukan sesuatu yang luar biasa baginya.
Beberapa tahun selepas itu, dia bertemu Kak Shida yang wajahnya kurus serta pucat dan apabila ditanya puncanya, wanita itu mengatakan dia terkena ‘sihir’ dan sedang berubat secara tradisional.
Pada 2010, dia mendapat khabar daripada keluarga terdekat mengatakan Kak Shida meninggal dunia bukan kerana penyakit misteri, tetapi penyakit kelamin dialaminya.
Namun, peristiwa paling menginsafkannya berlaku apabila dia lumpuh separuh badan hingga membataskan pergerakan dan sebahagian besar ahli keluarga tidak mempedulikannya lagi.
Cuma ibu dan bapa saudara mengambil berat terhadap Azwan, membuatkan dia insaf kerana masih ada insan yang menyayanginya.
“Selama tiga bulan saya tidak dapat berjalan dan yang terbayang ketika itu hanya kematian. Saya tahu semua ini salah sendiri dan mengharapkan Tuhan memberi peluang kedua kepada saya untuk menebus kesilapan diri.
“Atas kesedaran sendiri, saya pergi ke pusat Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Sungai Besi untuk memulihkan diri dan mengikut semua program dikendalikan.
“Saya bernasib baik kerana kesakitan itu membuatkan saya terus berusaha mendapatkan rawatan pemulihan walaupun tahu ia bukan senang dipulihkan.
“Untuk itu, sepanjang dua tahun menjalani rawatan pemulihan dan ditempatkan di pusat Cure & Care Centre di Taman Maluri, Cheras, Selangor, saya mendapat rawatan anti-retroviral (ARV) atau metadon.
“Cuma satu harapan saya iaitu jika pulih, saya mahu membina kehidupan baru dan seperti insan lain ingin berumah tangga dan memiliki anak kerana sudah ada teman untuk menjadi suri dalam hidup,” katanya.
Terjebak akibat kebodohan sendiri
KALAU 20 tahun dulu, dia boleh meraih lebih RM150 sehari selepas ditolak pendapatan harian oleh `bapa ayam’, tapi kini untuk mendapatkan RM10 pun susah.
KALAU 20 tahun dulu, dia boleh meraih lebih RM150 sehari selepas ditolak pendapatan harian oleh `bapa ayam’, tapi kini untuk mendapatkan RM10 pun susah.
Fiza (bukan nama sebenar) meniti lorong gelap sebagai pelacur seawal usia 21 tahun dan kini dalam usia mencecah 45 tahun, tiada lagi lelaki menjeling ke arahnya kerana lima tahun lalu dia disahkan HIV positif.
Katanya, kesihatan yang kurang mengizinkan sejak disahkan dijangkiti penyakit digeruni itu menyebabkan dia mengehadkan aktiviti itu gara-gara ramai ‘rakan setugas’ dan bapa ayam lain turut memaklumkan pelanggan mengenai keadaannya.
Ini menyebabkan ramai pelanggannya ‘lari’ dan Fiza menghadapi fasa sukar untuk kelangsungan hidup hingga memaksa dia menagih simpati pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi mencari sesuap nasi.
Namun, katanya, hidup perlu diteruskan dan atas pertolongan NGO itu, dia sedar keterlanjurannya selama ini.
“Dulu saya pernah terfikir untuk berhenti melakukan kerja berdosa ini, tetapi semangat tidak kuat. Cuma tahun lalu, apabila disahkan menghidap sifilis yang dahsyat sehingga alat sulit bernanah dan sukar membuang air kecil, baru saya sedar ajal menghampiri.
“Sakitnya hanya Tuhan yang tahu, tetapi selepas buat rawatan berkali-kali dan berulang alik ke hospital, akhirnya saya pulih.
“Namun beberapa hari selepas itu, saya kembali mengulangi kerja terkutuk ini kerana itu saja yang mampu dilakukan akibat kebodohan diri.
“Semuanya berpunca daripada sikap saya yang cepat terpedaya dengan rakan sekampung yang menjanjikan kerjaya menarik di ibu kota, sebaliknya saya terjebak dengan bidang pelacuran sepertinya. Beberapa tahun lalu, rakan saya itu meninggal dunia,” katanya.
Walaupun dilanggani ribuan pelanggan sejak remaja dan kini berdepan musibah Aids pada usia 40-an, wanita ini tidak melakukan rawatan khusus di hospital seperti dilakukan kebanyakan pesakit lain.
Atas faktor kewangan tidak mencukupi untuk ke hospital, dia terpaksa berserah kepada takdir jika jangka hayatnya tidak panjang kerana tahu sepanjang hidupnya dia hanya bergelumang maksiat dan seharusnya perbuatan terkutuk itu dibalas dengan musibah juga.
Katanya, bagi mengelak rasa sakit berterusan pada alat sulit, dia menjaga pemakanan tertentu dengan mengelak mengambil jenis makanan yang memungkinkan rasa gatal seperti telur separuh masak dan salad.
Menurut Fiza, dia pernah cuba melakukan kerjaya lain atas alasan mengubah nasib dan tidak mahu kembali ke dunia gelap itu dengan bekerja sebagai pembantu di sebuah restoran di ibu kota.
Bagaimanapun, dia tidak tahan apabila kudratnya diperah teruk oleh majikan kerana bekerja seawal jam 4 petang dan berakhir 6 pagi dengan diberi upah hanya RM40 sehari.
Bekerja lebih 14 jam tetapi gaji tidak seberapa menyebabkan dia hanya bertahan dua bulan dan kemudian mengambil keputusan berhenti kerja dan kembali melacur.
Pengalaman bergaul dengan penagih najis dadah sekitar Chow Kit turut membuatkan dia terjebak dengan aktiviti tidak bermoral seperti mengambil dadah jenis syabu yang boleh dibeli dengan harga semurah 20 sen.
Fiza juga mempunyai ‘kekasih’ 15 tahun lebih muda daripadanya dan turut menghidap Aids. Oleh kerana desakan hidup dan tiada pendapatan tetap kerana teman lelaki hanya bekerja mengutip tin atau botol minuman, kehidupan pasangan kekasih ini semakin parah.
Ditanya mengenai pengalaman pahit yang sukar dilupakan sepanjang hidupnya, Fiza berkata, disebabkan kebodohan sendiri, dia pernah diperdaya pengedar heroin supaya menjaga ‘barang’ yang ditumpangkan di biliknya hingga menyebabkan dia dituduh menjadi pengedar.
“Disebabkan kebodohan itu, saya terjebak dan dicekup dalam operasi di sekitar Lorong Haji Taib, Chow Kit sebelum Aidilfitri baru-baru ini.
“Dulu saya ditipu rakan baik apabila menawarkan kerja terkutuk ini hingga menyebabkan saya terpedaya, kini sekali lagi saya diperbodohkan.
“Ketika disoal siasat, saya didapati bersalah atas dua pertuduhan iaitu menagih dan salah laku perlakuan seks bebas hingga akhirnya dicekup dan terpaksa meringkuk dalam penjara selama tujuh bulan.
“Sejak itu, saya nekad menghentikan aktiviti ini kerana setiap musibah membuatkan saya benar-benar insaf dan mahu berubah serta berharap jadikan pengalaman saya sebagai iktibar,” katanya.
Mengenai harapan masa depannya, Fiza berhasrat bekerja di restoran atau apa saja kerja, termasuk mencuci pakaian, asalkan halal kerana hinanya diri jika seseorang itu tidak mempunyai wang.
Mengenai keinginan untuk berkahwin dan menjalani hidup berumah tangga seperti pasangan lain, hati wanitanya bagaikan tersentuh apabila diajukan persoalan itu.
“Sebenarnya, kami akan berdepan pelbagai cabaran, antaranya saringan ujian darah dilakukan sebelum berkahwin pasti jadi penghalang utama kerana kami berdua positif HIV.
“Selain itu, teman lelaki saya pernah menyuarakan perkara itu dan ibu tirinya pula meminta wang RM3,000 untuk persiapan majlis. Apa yang dapat kami buat, sedangkan untuk mengalas perut kami seharian pun tiada, apatah lagi untuk menyediakan wang sebanyak itu,” katanya sebelum mengakhiri pertemuan kami dengan wajah sayu.
Menagih sejak usia 16 tahun
USIANYA menjangkau 70 tahun. Sepatutnya dalam meniti usia emas itu, dia bahagia dikelilingi cucu-cicit, namun sebaliknya berlaku kepada Shafie (bukan nama sebenar) yang disahkan menghidap Aids.
Semuanya silap sendiri akibat mengambil najis dadah seawal usia 16 tahun dan menjadi penagih tegar sebaik berhijrah ke ibu kota.
Disebabkan ketagihan melampau daripada sekadar mencuba dan terikut rakan pada 1970-an, dadah kini seolah-olah menjadi ‘makanan’ hidupnya.
“Pada 1970-an dan 1980-an, saya adalah ‘raja dadah’ di Chow Kit. Di kalangan penagih atau yang mahukan khidmat jarum suntikan, saya bertindak sebagai ‘doktor’ kepada golongan penagih tegar.
“Menjadi penagih dadah dan turut mengedarnya kepada kalangan penagih baru akhirnya bala menimpa apabila saya disahkan ada HIV/Aids oleh doktor.
“Keadaan itu membuatkan saya terduduk kerana tiada pendapatan tetap untuk menyara kehidupan,” katanya ketika ditemui di Cure & Care Service Centre (CCSC) di Chow Kit, baru-baru ini.
Menurutnya, akibat kerja tidak menentu dan melalui pelbagai tekanan hidup, dia ditinggalkan isteri kerana tidak sanggup hidup bersamanya.
Katanya, ditahan di pusat pemulihan dadah dan dipenjara untuk tempoh lama menyebabkan isteri memohon cerai di mahkamah.
Dia bukan hanya kehilangan isteri, malah anak juga membenci dirinya yang bergelumang najis dadah serta tidak pernah melawatnya ketika dalam penjara.
Menjalani hidup sebagai duda hampir puluhan tahun, akhirnya pintu hati lelaki berasal dari selatan tanah air ini terbuka kepada seorang ibu tunggal dan mereka berkahwin tidak lama selepas itu.
Bagaimanapun, isteri yang baru dikahwininya juga disahkan dijangkiti Aids yang serius dan memperolehnya daripada bekas suami yang juga penagih dadah tegar.
Puas dia mengubati isteri dan sering membawanya ke hospital, namun doktor mengatakan keadaan isterinya di tahap serius.
Akibat desakan hidup, Shafie mengambil upah melakukan urutan refleksologi di sekitar Lembah Klang semata-mata mencari wang untuk saraan hidup mereka.
Katanya, dalam sehari dia boleh mendapatkan sehingga empat atau lima pelanggan dengan bayaran RM30 seorang dan rezeki itu dikongsi untuk membayar sewa bilik dan rutin harian, manakala isterinya mengambil upah membantu restoran dan dengan gaji harian RM35.
sumber: http://www.eserikasih.com/category/aids-hiv#ixzz31uFgq8SV
Catat Ulasan Blogger Facebook