Al-Quran dahului kecanggihan sains
REMAJA hari ini cerdik, pintar dan berpelajaran berdasarkan akademik serta fakta sains. Ini mungkin kerana sistem pendidikan yang menekankan dan memberi penumpuan dalam bidang sains.
Tidak hairanlah remaja hari ini mengenali nama saintis dan kagum dengan penemuan mereka. Penciptaan teknologi canggih membantu penemuan baru rahsia alam.
Seperkara yang remaja patut tahu, penemuan baru ini selari dengan penyataan al-Quran malah ia sudah lama disebut dalam kitab suci itu.
Jika kita boleh berbangga dengan penemuan sains semestinya kita patut lebih takjub dengan kecanggihan al-Quran berabad dahulu mendahului zaman, malah manusia memerlukan masa yang panjang ribuan tahun memahami sentuhan ayat al-Quran mengenai alam dan sains.
Antara ayat mengenai sains ialah yang berkaitan dengan pengembangan alam. Firman Allah yang bermaksud: “Dan, langit Kami bangunkan dengan kekuasaan Kami. Sesungguhnya Kami benar-benar meluaskannya.” Ayat ini menceritakan mengenai pengembangan alam.
Ini bermaksud langit diluaskan oleh Allah. Allah sudah menyatakan ribuan tahun dahulu, jika ada orang yang menolak al-Quran kerana menyangka dirinya maju dengan sains, sepatutnya tunduk dengan fakta ini.
Pada tahun 1929 Edwin Hubble dengan menggunakan alat canggih meneropong ke langit mendapati alam ini sebenarnya mengembang dan membesar malah saintis sekarang ini berupaya mengukur kelajuan pengembangan alam.
Kedua, ayat berhubung teori Big Bang. Hal ini sudah lama disentuh ribuan tahun dulu dalam surah al-Anbia': 30, bermaksud: “Apakah orang kafir tidak melihat bahawa sesungguhnya langit dan bumi pada asalnya bercantum satu kemudian Kami pisahkan (letupkan) antara kedua-duanya.”
Maknanya langit dan bumi asalnya melekat bercantum, Allah pisahkan antara keduanya dengan udara.
Teori Big Bang diasaskan oleh formula umum ‘Theory Of Relativity’ oleh Einstein 1915, kemudian disahkan pakar fizik Rusia pada 1922. Pada 1929 teori ini disahkan Edwin Hubble. Cuba bayangkan hakikat yang ditemui pada abad 20 ini telah dijelaskan oleh al-Quran sejak 1400 tahun dulu.
Segala penemuan ini selari penyataan ayat al-Quran yang menunjukkan al-Quran “Kalamullah” kerana ilmu sains belum berkembang pada zaman Nabi Muhammad (s.a.w), tambahan pula tiada sebarang kemudahan yang tidak memungkinkan manusia mengetahui asal-asul alam ini. Benarlah al-Quran bukan ciptaan Muhammad.
Jadi tidak hairan sekiranya orang Islam mendahului bangsa lain dari sudut ketamadunan. Ini kerana al-Quran berada di hati mereka, sebagaimana disebut dalam pertemuan lalu al-Quran bukan hanya dibaca tapi juga untuk memakmurkan alam ini.
Percikan daripada kehebatan al-Quran inilah terbinanya tamadun di Iraq, Sepanyol, Turki, India , Afrika dan Barat mempelajari daripada Islam seterusnya mengembangkan lagi menurut acuan mereka.
Yang tidak seronoknya mereka menimbus serta memadamkan sumbangan Islam dalam dunia sains malah memutar belit fakta sejarah dengan menuduh Islam tidak menyumbang apa-apa.
Justeru, dalam menimba ilmu, remaja jangan lupa melihat sejarah tamadun Islam. Belajar di Barat untuk mencari ilmu bukan satu kesalahan, yang kita bimbang sebelum dapat ilmu sudah jadi Barat, pergaulannya, pakaiannya dan budayanya.
Marilah kita maju dengan acuan dan budaya kita sendiri, berpaksikan al-Quran, sunnah.
Catat Ulasan Blogger Facebook