MANCHESTER - Pengurus Manchester City, Manuel Pellegrini berkata, pasukan bimbingannya semakin menghampiri kejuaraan Liga Perdana England musim ini.
Keyakinan Pellegrini itu hadir selepas kejayaan City menewaskan Aston Villa 4-0 di Stadium Etihad, awal pagi semalam.
Kini, The Citizens hanya perlu mengutip satu mata untuk ditabal sebagai juara baharu liga ketika menentang West Ham United pada aksi terakhir di venue yang sama pada Ahad ini.
Dalam aksi itu, Edin Dzeko meledak dua gol disusuli pemain gantian, Stevan Jovetic dan Yaya Toure masing-masing menjaringkan satu gol.
"Sekarang, baru kita boleh bercakap mengenai (kejuaraan) liga kerana jika kami menang pada aksi akan datang (menentang West Ham), City akan menjadi juara.
"Saya fikir ia akan menjadi satu aksi yang cukup penting kerana bukan sekadar gelaran liga tetapi cara memenangi liga musim ini dengan penuh bergaya.
"Saya turut fikir bahawa kami memiliki gaya permainan tersendiri.
"Malah, saya fikir bahawa City adalah salah satu pasukan yang cukup menarik. Kami telah menjaringkan banyak gol dan sentiasa menambah jaringan dalam perlawanan.
"Pada pendapat saya, sikap itu sangat penting untuk memenangi kejuaraan liga pada musim ini.
"Saya berharap kami dapat mengekalkan prestasi cemerlang ini ketika menentang West Ham dan saya sangat gembira kerana dapat membimbing kelab ini dengan persembahan menghiburkan," ujarnya. - AFP
Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0509&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz319txBrns
Hakcipta terpelihara
Catat Ulasan Blogger Facebook