PERSATUAN Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP) yang bakal menjadi tuan rumah untuk pusingan kedua separuh akhir Piala FA menentang Johor Darul Takzim (Johor DT) pada 31 Mei ini perlu membuat kajian terperinci mengenai tahap keselamatan bagi mengelak hukuman yang dikenakan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar memberitahu, insiden kekecohan di Larkin pada 6 Mei lalu melibatkan perlawanan separuh akhir pertama Piala FA antara Johor DT dan Pahang wajar dijadikan iktibar untuk menambah baik tahap keselamatan.
Menurutnya, amaran daripada FAM untuk mengenakan tindakan tegas termasuk menghukum pasukan dengan beraksi dalam stadium kosong sekiranya insiden kekecohan melibatkan penyokong fanatik sehingga mengganggu kesejahteraan sesuatu perlawanan di negara ini perlu diberi perhatian serius oleh setiap pasukan.
“Saya telah menghubungi Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin (Mohd. Amin) dua hari lepas dan saya telah minta FAM mengambil langkah yang drastik dan tegas kerana banyak insiden yang melibatkan penyokong yang tidak dapat dikawal.
“Saya difahamkan PBNP juga sedang mengkaji saranan daripada FAM. Mesti ada sesuatu tindakan daripada FAM yang tegas untuk mengawal situasi,” katanya ketika menghadiri Majlis Penyampaian Anugerah Cemerlang Yayasan Pendidikan Titiwangsa di ibu negara semalam.
Dalam pada itu, Khairy turut mengulangi pendiriannya untuk tidak menyokong usaha menaturalisasikan pemain atau atlet dari luar yang didakwa mampu meningkatkan mutu sukan di negara ini.
“Saya tak sokong. Secara dasarnya kita tidak sokong naturalisasi pemain-pemain ataupun atlet kebangsaan,” ujarnya ringkas.
Isu naturalisasi kembali timbul apabila penyerang import Selangor, Paolo Rangel menerusi laman sosial Instagram
melahirkan rasa gembira apabila namanya dikaitkan dengan Harimau Malaya malah, cukup berbangga sekiranya beliau dan keluarga diberikan status kewarnegaraan Malaysia.
Bagaimanapun, beliau juga sedar bahawa isu naturalisasi cukup sensitif di negara ini kerana sesetengah pemerhati bola sepak tempatan menganggap proses berkenaan memperlihatkan bagaimana usaha pembangunan bola sepak di peringkat akar umbi tidak begitu berjaya.
Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0509&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz319uNG89M
Hakcipta terpelihara
Catat Ulasan Blogger Facebook