BEIJING: Juara Liga Super China, Guangzhou Evergrande melantik bekas pertahanan Real Madrid dan Juventus, Fabio Cannavaro sebagai jurulatih baharu kelab itu.
Cannavaro menggantikan bekas mentornya, Marcello Lippi yang Ahad lepas mengumumkan persaraan daripada pengurusan bola sepak dan menjawat jawatan Pengarah Teknikal di Evergrande.
Laman sosial rasmi Twitter Evergrande memaparkan gambar legenda Itali, Cannavaro yang tiba di lapangan terbang diikuti sidang media bersama Lippi.
"Selamat datang ke Guangzhou, Fabio Cannavaro," papar kelab itu dalam laman sosial mereka.
"Fabio Canavaro secara rasmi sudah menyertai kami sebagai jurulatih," tulis pengendali laman itu dalam bahasa China.
Cannavaro mengemudi Itali selaku kapten ketika menjulang Piala Dunia pada 2006 ketika Lippi menjadi jurulatih.
Musim lepas, Cannavaro menghabiskan masanya selaku pembantu jurulatih di kelab Emiriah Arab Bersatu, Al Ahli. - AP
Catat Ulasan Blogger Facebook