ShahKB ShahKB Author
Title: Mat Yo Minta Maaf
Author: ShahKB
Rating 5 of 5 Des:
SELEPAS dikecam hebat kerana gagal menyempurnakan sepakan penalti pada aksi final Piala Malaysia 2014 di Stadium Nasional Bukit Jalil, ...
Mat Yo Minta Maaf

SELEPAS dikecam hebat kerana gagal menyempurnakan sepakan penalti pada aksi final Piala Malaysia 2014 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu lalu, penyerang Johor Darul Takzim (Johor DT), Norshahrul Idlan Talaha akhirnya tampil memohon maaf kepada seluruh rakyat di negeri selatan tanah air itu.
Menurut Norshahrul, 28, yang juga dikenali sebagai Mat Yo, meskipun tidak menyangka dia akan gagal menyempurnakan sepakan tersebut, namun pemain yang pernah diangkat sebagai pen­yerang prolifik negara itu bagaimanapun mengakui kesilapannya itu sehingga menyebabkan Piala Malaysia terlepas daripada genggaman Johor DT.
"Saya minta maaf kepada seluruh rakyat negeri Johor kerana gagal menjaringkan sepakan penalti itu. Saya sendiri tidak menyangka, namun apa boleh buat semuanya sudah berlaku.
“Buat masa ini saya sudah melupakan kekecewaan tersebut kerana apa yang penting ialah saya perlu memberi fokus menghadapi masa hadapan,” jelas Norshahrul ketika ditemui selepas menjalani latihan pusat bersama skuad negara di Johor Bahru semalam sebagai persiapan menghadapi Kejohanan Bola Sepak Piala AFF Suzuki hujung bulan November nanti.
Mat Yo sebelum ini dijadikan kambing hitam oleh sesetengah penyokong Johor DT atas kegagalannya itu yang menyaksikan pasukan juara Liga Super tersebut tewas 3-5 kepada Pahang menerusi penentuan sepakan penalti pada aksi final yang berkesudahan seri 2-2 selepas tamat tempoh masa permainan sebenar.
Dia yang pernah memenangi anugerah Pemain Paling Bernilai dalam saingan bola sepak Malaysia pada 2010 hingga 2012, turut hairan apabila penyokong bola sepak negara ini menjadikan kegagalannya itu sebagai satu isu besar sedangkan ia adalah satu lumrah biasa yang pernah dihadapi oleh mana-mana pemain terhebat dunia yang lain.
"Saya sendiri tidak tahu mengapa penyokong dan peminat menyalahkan saya serta menjadikan ia satu isu besar. Tetapi, saya tidak salahkan mereka dan saya juga tidak kecewa dengan tindakan mereka.
"Sebaliknya saya akan jadikan kritikan dan kecaman ini sebagai pembakar semangat kepada diri saya untuk meneruskan karier sebagai pemain," ujarnya.
Sementara itu, pemain kelahiran Besut, Terengganu tersebut turut mengesahkan yang dia bakal meninggalkan Johor DT pada musim hadapan untuk menyertai pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Jelasnya, antara faktor yang menyebabkan dia membuat keputusan demikian adalah kerana gagal mendapat peluang beraksi dengan lebih kerap selain berharap penyatuannya dengan bekas jurulatihnya di Kelantan, B. Sathianathan dapat mengembalikan semula reputasinya sebagai penyerang terbaik negara.
“Ya, saya akan menyertai ATM musim depan kerana saya mahu memulihkan semula karier saya selepas banyak kali menghabiskan masa di tepi padang.
“Lagi pun jurulatih ATM, Sathianathan sudah kenal dengan corak permainan saya, malah dia yang banyak membantu menaikkan karier saya ketika bersama Kelantan,” tambahnya lagi.

Artikel : http://www.kosmo.com.my/

Advertisement

Catat Ulasan Blogger

 
Top