ShahKB ShahKB Author
Title: Torres milik JDT 2016?
Author: ShahKB
Rating 5 of 5 Des:
JOHOR BAHRU - Wira Sepanyol dalam Euro 2008, Fernando Torres menjadi sasaran Tunku Ismail Sultan Ibrahim untuk dipikat bagi memperkuatka...
Fernando Torres

JOHOR BAHRU - Wira Sepanyol dalam Euro 2008, Fernando Torres menjadi sasaran Tunku Ismail Sultan Ibrahim untuk dipikat bagi memperkuatkan dan menambah nilai Johor Darul Ta'zim (JDT) dalam kempen Liga Malaysia.

Bagaimanapun, jika itu berlaku, ia hanya akan direalisasikan dua tahun lagi.
Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ) itu, yang mengumumkan cita-cita besarnya semalam, malah memberitahu bahawa langkah permulaan telah dilakukan dengan pihaknya telah mula berbincang dengan ejen bekas hero Liverpool itu.

"Kami sudah menghubungi dan berbincang dengan ejen pemain itu (Torres), malah turut mengintai beberapa pemain import lain. Ini merupakan antara usaha untuk mengukuhkan lagi pasukan (JDT)," katanya dalam pertemuan dengan wakil akhbar dan penyokong di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, di sini semalam.

"Torres akan menggantikan Luciano Figueroa yang akan bersara pada musim 2016," katanya.

Selain Torres yang menjadi sasaran JDT untuk musim 2016, pasukan Harimau Selatan itu juga berminat mendapatkan khidmat penyerang antarabangsa lain jika usaha mendapatkan bekas penyerang Chelsea itu gagal, katanya.

Antara pemain yang dimaksudkan termasuklah penyerang Juventus, Fernando Llorente; pemain Fiorentina, Mario Gomez dan bekas bintang Argentina, Javier Saviola yang kini bermain dengan kelab Serie A, Hellas Verona.

Selain itu, Tunku Ismail juga mendedahkan bahawa bekas penyerang utama, Inter Milan, Diego Milito dari Argentina turut berminat bermain untuk Harimau Selatan.

Walaupun Torres gagal menyinar bersama Chelsea, Tunku Ismail tetap berpendapat penyerang Sepanyol itu merupakan pemain yang berkualiti, berpengalaman dan berkebolehan.

"Walaupun prestasinya di Chelsea kurang memberangsangkan, tetapi kita juga kena lihat prestasinya ketika di Liverpool dan ketika bermain untuk pasukan kebangsaan Sepanyol," ujarnya.

Torres kini dipinjamkan oleh kelab Liga Perdana Inggeris, Chelsea kepada kelab Itali, AC Milan menerusi perjanjian selama dua musim. Ini bermakna pemain itu, yang dilaporkan menerima gaji 150,000 pound (RM788,742) seminggu daripada Chelsea, akan menjadi agen bebas apabila kontrak pinjaman itu tamat pada 2016.

Ketika itu, nilai pemain itu dijangka semakin merosot.

Bekas bintang Atletico Madrid itu berpindah dari Liverpool ke Chelsea pada Januari 2011 menerusi yuran perpindahan 50 juta pound (RM263.2 juta) yang merupakan rekod Britain ketika itu. Dia bagaimanapun gagal mengulangi kecemerlangan di Anfield, menyebabkan kedudukannya dalam kesebelasan utama Chelsea kini semakin kelam, apatah lagi dengan kehadiran Diego Costa, menyebabkan dia terpaksa mencuba angin baru dengan menyertai kelab Serie A.

PBNJ mungkin memiliki dana terkumpul yang cukup bagi memikat pemain berusia 30 tahun itu kerana mereka seakan-akan 'menyimpan' dana apabila tidak berhasrat untuk berbelanja besar musim depan.

"PBNJ tidak bercadang untuk berbelanja besar musim depan dan akan mengekalkan pemain import sedia ada kerana mahu berbelanja lebih untuk mencari pemain import yang bagus bagi saingan Liga Malaysia pada 2016.

"Kami harap semua (perancangan) berjalan lancar dan menyeru penyokong terus memberi sokongan kepada kami," kata Tengku Ismail.

Tunku Mahkota Johor itu juga berkata, selepas hampir tiga tahun menjadi Presiden PBNJ, beliau berusaha untuk menunaikan segala janji yang dibuat terutama dalam meletakkan nama Johor di pentas antarabangsa menerusi pasukan bola sepak.

Beliau juga berhasrat untuk membentuk sebuah pasukan dan persatuan yang mantap serta terkenal dengan kualiti serta perancangan termasuk pembangunan bola sepak negeri ini, sekali gus muncul antara yang terbaik di Asia.

Sambil menyifatkan industri bola sepak Asia sudah muncul sebagai pasaran bersifat global, Tunku Ismail memberitahu, apa yang dilakukan PBNJ adalah menuju ke arah itu bagi meletakkan Johor dan Malaysia lebih dikenali dunia.

Beliau yakin perancangan tersebut mampu dicapai dengan berusaha memastikan JDT layak bermain dalam Liga Juara-juara Asia tahun depan, yang akan menjadi platform untuk memperkenalkan lagi nama JDT dan PBNJ di pentas antarabangsa.

sumber: utusan malaysia

Advertisement

Catat Ulasan Blogger

 
Top