Kehamilan dan masalah alahan memang tidak dapat dipisahkan. Alahan 'morning sickness' itu dikaitkan dengan muntah, loya, pening kepala serta perut rasa sebu selain kurang selesa.
Ada yang tidak dapat menghidu bau makanan yang dimasak, bauan minyak wangi atau lebih teruk, alah kepada makanan tertentu. Masalah berkenaan dikatakan berlaku pada awal kehamilan dan dianggap beruntung bagi bakal ibu yang tidak mengalaminya.
Begitupun, terdapat banyak cara atau petua bagi mengurangkan alahan berkenaan dan ia sebenarnya bergantung kepada individu itu sendiri untuk mengatasinya.
Antara yang boleh diamalkan adalah pengambilan kurma dan kismis mengikut sekadar yang terdaya.
Kurma adalah makanan mengikut sunnah nabi dan ia dapat membantu memberi tenaga kepada badan. Kurma dan kismis ini juga mempunyai banyak khasiat untuk kesihatan badan.
Elak daripada mengambil terlalu banyak makanan jeruk atau masam. Sebaiknya jika teringin, ambil sedikit saja.
Selain itu, ambil makanan secara kerap supaya perut tidak dibiarkan kosong. Contoh terbaik, makan sedikit setiap dua jam meskipun tidak berapa lapar.
Paling mustahak, elak makanan pedas, berlemak atau bergoreng yang menyebabkan perut tidak selesa. Malah, bakal ibu juga perlu mengelak daripada minum ketika sedang makan. Sebaiknya, minum selepas makan dalam kuantiti berpada, malah ramai pakar perubatan berpendapat, air halia juga dapat membantu mengurangkan alahan.
Jangan lupa minum air masak secukupnya kerana ia dapat menggantikan bendalir badan yang hilang dan mengelakkan sembelit. Elak daripada berada di kawasan panas kerana ia boleh menyebabkan alahan bertambah teruk. Keadaan panas melampau juga boleh menjejaskan kesihatan bakal ibu itu sendiri.
Paling penting, dapatkan tidur secukupnya. Bakal ibu perlu mendapatkan waktu rehat yang cukup kerana alahan bertambah buruk apabila kepenatan.
Catat Ulasan Blogger Facebook