SINGAPURA – Seorang pekerja kilang terkejut selepas sebuah kedai telefon bimbit mengenakan caj tambahan sebanyak S$1,445 (RM3,700) semasa dia membeli telefon pintar iPhone 6, lapor kelmarin.
Warga Vietnam, Pham Van Thoai, 28, sebelum itu telah membayar wang sebanyak S$949 (RM2,436) untuk harga iPhone 6 kepada sebuah kedai menjual telefon bimbit di Sim Lim Square di sini.
Bagaimanapun, dia terkejut selepas seorang pekerja kedai itu memberitahu, dia tidak boleh pulang sehingga dia membayar wang tambahan sebanyak S$1,507 (RM3,861) untuk pakej jaminan.
Pham yang tidak mampu membayar caj tambahan itu kemudian meminta supaya wangnya dipulangkan semula tetapi penjual berkenaan enggan memulangkan wang berkenaan.
Keadaan Pham yang merayu sambil menangis serta melutut agar wang tersebut dikembalikan turut menyebabkan dia diketawakan.
Katanya, dia menyimpan wang sebanyak S$169 (RM434) setiap sebulan sejak beberapa bulan lalu untuk membeli iPhone 6 sebagai hadiah hari jadi untuk kekasihnya.
Aksi Pham itu dirakam oleh seorang pelanggan di kedai berkenaan menyebabkan video tersebut kini menjadi popular di internet.
Ekoran keprihatinan orang ramai, lelaki malang itu berjaya menerima sumbangan S$14,446 (RM37,000) dari seluruh negara.
Seorang warga Singapura yang mengambil inisiatif itu, Gabriel Kang berkata, dia berbuat demikian kerana mahu membuktikan negara itu bukan pencuri atau penipu.
Kedai berkenaan sememangnya mempunyai reputasi buruk dengan 18 aduan diterima oleh pihak berkuasa selain pernah memulangkan wang pelanggan dalam bentuk syiling sebanyak S$1,651 (RM4,233). – Agensi
Catat Ulasan Blogger Facebook