KUALA LUMPUR – Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) menafikan dakwaan bahawa Paulo Rangel tidak menerima gaji sebagaimana dijanjikan.
Malah, Timbalan Presiden (FAS), Datuk Abdul Mokhtar Ahmad menganggap kenyataan yang dikeluarkan oleh pemain kelahiran Brazil itu tidak profesional dan menyebabkan timbul pelbagai spekulasi terhadap FAS.
Mokhtar, dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh FAS semalam, berkata dakwaan Rangel itu tidak benar sama sekali malah pemain itu sudah pun menerima bayaran melebihi RM1 juta, tidak termasuk bonus dari awal musim hingga kini.
“Rangel dianggarkan menerima RM1 juta untuk gaji dan signing on fees, tidak termasuk bonus untuk kemenangan. Malah FAS turut menjelaskan kontraknya dilanjutkan untuk dua tahun lagi sehingga 2016 dengan bayaran tandatangan berjumlah RM300,000. Kontrak tersebut bermula 1 Disember ini.
“Kami sudah menjelaskan wang pendahuluan berjumah RM100,000 pada 21 Oktober lalu sebelum dia berlepas pulang ke Brazil untuk bercuti. Rangel dijadual kembali ke Selangor pada Khamis ini.
“Untuk kontrak sepanjang 2014, Rangel juga menerima anggaran yang sama sebagai signing on fees. Jadi tidak timbul isu FAS tidak membayar atau berhutang dengan Rangel.
“FAS telah memberi wang pendahuluan RM100,000 sebagai singing on fees meskipun kontrak baharunya hanya berkuat kuasa pada bulan depan,” katanya dalam kenyataan itu.
Menurut beliau, Rangel turut menerima RM50,000 sebagai bonus atas kejayaannya memenangi anugerah Kasut Emas selepas menjaringkan 12 gol dalam liga pada musim lalu. FAS turut menanggung tiket penerbangan dua hala buat Rangel dan keluarganya untuk pulang ke Brazil.
Mokhtar turut menyatakan pihaknya akan mengadakan perbincangan untuk mengambil tindakan terhadap pemain itu sekiranya perlu sebaik sahaja dia kembali.
Dalam isu tersebut, ejen Rangel sudahpun dimaklumkan untuk menasihati penyerang itu supaya lebih berhati-hati ketika membuat sebarang ulasan sama ada di dalam media atau laman sosial yang boleh menimbulkan salah tafsir orang ramai.
Catat Ulasan Blogger Facebook